Wednesday, August 17, 2011

MULIANYA WANITA~~


Allah swt tidak menjadikan nabi di kalangan wanita. Tetapi Allah swt memuliakan wanita di dalam Al-Quran dengan menamakan surah -An nisa'-.
1*Manusia yang pertama beriman kepada Allah swt selepas Rasulullah saw ialah wanita - Khadijah r.anha-.

2*Manusia pertama yang syahid kerana agama Allah juga adalah wanita - Sumayyah r.anha -.

3*Dan Allah juga mengangkat perbuatan Siti Hajar r.anha yang juga seorang wanita yang berlari-lari antara Safa dan Marwah di dalam rukun haji, iaitu saie.
 Wanita adalah yang paling mudah memasuki syurga tetapi wanita jugalah yang paling ramai menjadi penghuni neraka. Sabda Nabi yang mafhumnya; "Wanita yang solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mentaati suaminya, maka masuklah dia ke syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya".

  Masya Allah, senang bunyinya. Tapi hakikatnya tidaklah semudah itu. Jika kita lihat bagaimana pengorbanan 4*Siti Khadijah r.anha, tentunya kita takkan dapat tiru apa yang beliau telah lakukan. Sebelum memeluk Islam dan menjadi isteri Rasulullah saw, beliau ialah seorang hartawan, peniaga yang mashyur dan terkenal. Tetapi sebaik sahaja beliau beriman kepada Allah, seluruh hartanya diinfaqkan(dibelanjakan) ke jalan Allah swt. Sehinggakan di akhir hayatnya, ketika di pangkuan Rasulullah saw, katanya "Ya Rasulullah, jika tulang belulangku ini dapat dijadikan jambatan untuk keluar ke jalan Allah, maka ambillah. Aku redha ya Rasulullah".

 Begitu juga kisah Sumayyah r.anha yang semua ahli keluarganya habis di bunuh oleh pembesar kafir Quraisy. Iman di dadanya sedikitpun tidak goyah hatta nyawanya menjadi korban kerana dia yakin, syurga Allah telah menantinya.
Kesabaran dan ketaatan 5*Siti Hajar r.anha kepada suaminya dan iman yang kental terhadap Tuhannya, membuatkan beliau tidak sedikit pun gentar ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang panas, yang tiada asbab untuk hidup bersama bayinya Nabi Ismail a.s yang masih merah. Tetapi Allah Maha Besar, setiap hamba yang taat kepadaNya akan dibalas dengan kebaikan. Dari hentakan kaki nabi Ismail a.s, maka terpancutlah air zam-zam yang Allah janji tidak akan kering sehingga hari Kiamat.

Allahu Akbar!.

Betapa besarnya pengorbanan para sahabiah r.anha ketika itu. Sanggup kehilangan harta, suami, anak-anak demi agama Allah swt. Kerana mereka yakin dengan janji Allah swt, Allah telah beli diri, harta dan masa orang mukmin dengan syurga Allah swt. Apa lagi yang kita harapkan jika Allah swt sendiri dah tawarkan syurgaNya untuk kita? But for sure, ada harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan ganjaran itu. Dan dunia ini adalah tempat untuk kita membuktikannya. Sabda Rasulullah saw yang mafhumnya,

"Dunia itu adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir".



Kebenaran Disebalik Kisah Bayi Berwajah Ular...


Anda pasti pernah melihat video tentang kelahiran seorang bayi yang berwajah ular di atas. Diceritakan bahawa kejadian yang pelik ini berlaku di sebuah hospital di Mekah. Berikut saya salin semula kisahnya.
Kejadian ini benar-benar berlaku di Makkah. Seorang rakan sepejabat pergi ke Makkah menunaikan Umrah. Bertolak 10 Jun 2007 dan pulang ke Malaysia 27 Jun 2007. Ceritanya berlaku di hospital Makkah. Ibu malang ini telah mempunyai 2 orang anak perempuan dan mengandungkan anak ketiganya yang menurut kata doktor anak itu juga seorang perempuan. Memandangkan ibu itu sudah mempunyai 2 anak perempuan jadi dia teringin pula anak lelaki. Oleh kerana doktor mengatakan anak yang dikandungnya adalah perempuan, dia merasa sedih dan setiap kali orang tanyakan kandungannya lelaki ke perempuan (semasa dia mengandung) dengan berseloroh dia menjawab dia mengandungkan anak ular. Tiba hari yang ditentukan Allah untuk dia melahirkan bayi di dalam kandungannya itu, maka dia telah melahirkan anak yang menyerupai wajah ular.
Sebagai seorang yang pelajar beraliran sains dan mempelajari ilmu perubatan, amat sukar sekali bagi saya untuk mempercayai cerita-cerita yang boleh dikategorikan sebagai tahyul edisi Mastika ini. Saya yakin dan percaya sesuatu yang berlaku meski perkara paling ajaib di dunia sekalipun pasti ada penjelasan logik dan saintifik kerana Allah tidak menjadikan dan mengatur alam ini melainkan dengan sunnah-Nya. Alhamdulillah, setelah melakukan pencarian akhirnya saya menemui punca berlaku kejadian tersebut. Dan hakikatnya kejadian di atas tiada kaitan dengan unsur-unsur mistik seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya, ia termasuk dalam ilmu perubatan.
Harlequin type ichthyosis
Harlequin type ichthyosis (atau sinonimnya harlequin ichthyosis, ichthyosis congenita, keratosis diffusa fetalis) adalah sindrom penyakit kulit yang paling parah dan hanya berlaku pada bayi yang baru lahir. Ciri-ciri Harlequin dapat dilihat pada penebalan pada lapisan keratin kulit bayi yang membentuk sisik-sisik tebal kemerah-merahan dan berbentuk seperti berlian (diamond). Sisik tebal pada kulit bayi ini sangat membataskan pergerakan bayi malah menyukarkannya untuk bernafas dan makan. Bayi Harlequin selalunya tidak dapat bertahan untuk hidup lama. Hal ini kerana rekahan-rekahan pada kulit yang mengeras tersebut memudahkan bakteria atau bahan tercemar menembusi badan seterusnya mengakibatkan jangkitan yang membawa maut. Untuk memanjangkan hayat, bayi Harlequin perlu dimasukkan ke dalam neonatal intensive care unit dengan segera. Penyakit ini amat jarang sekali berlaku dengan kadar satu per 300 000 dan insidennya juga tidak cenderung pada mana-mana jantina atau bangsa.
Sejarah
Kelahiran pertama bayi Harlequin dicatatkan pada tahun 1750 oleh seorang Reverend Oliver Hart dari Charleston, South Carolina yang menulis dalam diarinya:
On Thursday, April ye 5, 1750, I went to see a most deplorable object of a child, born the night before of one Mary Evans in 'Chas'town. It was surprising to all who beheld it, and I scarcely know how to describe it. The skin was dry and hard and seemed to be cracked in many places, somewhat resembling the scales of a fish. The mouth was large and round and open. It had no external nose, but two holes where the nose should have been. The eyes appeared to be lumps of coagulated blood, turned out, about the bigness of a plum, ghastly to behold. It had no external ears, but holes where the ears should be. The hands and feet appeared to be swollen, were cramped up and felt quite hard. The back part of the head was much open. It made a strange kind of noise, very low, which I cannot describe. It lived about forty-eight hours and was alive when I saw it.
Punca
 Kajian terkini oleh kumpulan pengkaji yang diketuai oleh Queen Mary's School of Medicine and Dentistry di London telah mengenalpasti bahawa penyakit ini disebabkan berlakunya mutasi pada gen ABCA 12. Gen ABCA 12 berfungsi menghasilkan protein yang diperlukan untuk pertumbuhan kulit yang normal. Walaupun protein yang dihasilkan itu masih belum lagi diketahui fungsi sebenarnya, namun para pengkaji percaya bahawa protein tersebut memainkan peranan penting dalam pengangkutan lipid ke bahagian paling luar kulit (epidermis). Mutasi pada gen ABCA12 mengakibatkan protein ABCA12 kehilangan fungsi dalam menghasilkan epidermis yang normal. Hal ini menghalang kulit dari mendapatkan perlindungan yang berkesan lalu menyebabkan kulit menjadi keras dan bersisik.
Diagnosis
Diagnosis terhadap Harlequin mestilah dilaksanakan seawal 17 minggu selepas kehamilan. Tanda-tanda kelahiran Harlequin dapat dikesan apabila terdapat penghasilan keratin yang berlebihan (overproduction) dan titisan lipid yang abnormal dalam sampel cecair amniotik yang diperoleh. Ibu bapa akan diberi pilihan sama ada untuk menggugurkan kandungan fetus setelah diagnosis benar-benar disahkan. Kini, ciri-ciri umum Harlequin dapat dikenalpasti dengan bantuan alat ultrasound diikuti dengan pemeriksaan 3D ultrasound.
Rawatan
Bayi Harlequin memerlukan penjagaan yang intensif dan berterusan. Selain pengawasan yang berterusan, mata mereka perlu sentiasa dilindungi dengan ophthalmic lubricant (pelincir mata). Mereka juga memerlukan nutrien dengan cara intubation atau IV drips kerana sukar untuk memberi makan secara normal kepada mereka.
Sikap Masyarakat
Sesetengah masyarakat kita yang masih dibelenggui fahaman animisme dan khurafat gemar sekali mengaitkan kejadian-kejadian ganjil seperti ini dengan sumpahan, buatan orang, jin atau syaitan, kenan atau lainnya. Jauh sekali mereka mahu melihat perkara ini dari aspek saintifik. Lebih teruk lagi, terdapat mereka yang memanipulasikan perkara ini sebagai alat mainan untuk gurauan atau menakut-nakutkan masyarakat. Sedangkan di Barat sudahpun ditubuhkan institusi-institusi yang menyelidik penyakit ini secara khusus demi mencari punca dan penawarnya. Kita pula masih rela dibodohkan dengan kisah-kisah khayalan dan kayangan yang tidak berpijak di bumi nyata. Malah dengan membuta-tuli mempercayai hikayat-hikayat tersebut tanpa berusaha memastikan kebenaran dan kesahihannya.
Bukanlah saya menafikan "kun fayakun" Allah, akan tetapi seperti yang saya jelaskan tadi Allah sekali-kali tidak akan melanggar sunnah-Nya dalam mencipta dan mengatur alam. Segala-galanya pasti terdapat penjelasan yang logik dan saintifik. Bukankah Allah banyak menekankan kita untuk memaksimakan penggunaan akal untuk menghayati ciptaan-Nya?

Kuatkah Daku Andai Tiang Itu Masih Rapuh?!!


Everytime you feel like you cannot go on,
You feel so lost that your so alone,
All you is see is night,
And darkness all around,
You feel so helpless,
You can't see which way to go,
Don't despair and never loose hope,
Cause Allah is always by your side,
Insha-Allah...
Telefon bimbitku berulang-ulang kali mendendangkan lagu Insha-Allah nyanyian penyanyi arab terkenal, Maher zain. Oleh sebab lagunya sangat menenangkan serta menyentuh kalbu, aku menjadikannya sebagai nada dering untuk jam locengku di telefon bimbit. Tanganku pantas meraba ke bawah bantal mencari telefon bimbitku. ”Hah,dapat pun!” Dengan bersusah payah aku membuka mata dan...
Astaghfirullahalazim! 6.07 pagi?
Aku kesiangan lagi pagi ini dan yang paling menyedihkan solat Subuhku ‘gajah’ lagi. Mungkin bukan gajah tetapi ‘dinosaur’ layaknya kerana kini subuh di Mesir masuk waktu seawal sekitar 4.15 pagi. Masuk pagi ini sudah tiga kali berturut-turut aku terlewat bangun untuk mengerjakan solat subuh.
Lantas aku beristighfar lagi sambil melompat dari atas katil. Langkahku dipercepat. Tiang agamaku tidak mungkin kubiarkan terus rapuh. Biar sudah terlambat, solat harus dikerjakan dan keampunan harus kupinta daripada Yang Maha Pengampun.
Matahari semakin terik. Peluh cepat sahaja bertelur di dahiku. Mujur kelas selama enam jam berturut-turut sudah pun tamat, alhamdulilah. Namun ada sesuatu yang kukesali. Walaupun si pensyarah hebat dalam menerangkan ilmu-ilmu medik kepada kami, nampaknya aku gagal memahaminya dengan baik.
Aku tidak dapat fokus sedang teman-teman yang lain tersenyum lebar sambil memuji-muji kehebatan si pensyarah tadi menghurai tajuk pelajaran pada hari ini. Muhasabahku mengingatkan aku kepada solat Subuh yang terlewat pagi tadi. Mungkin inilah akibatnya apabila solat Subuh yang merupakan permulaan hari pun tidak dikerjakan pada waktunya. Bibirku melafazkan istighfar lagi.
Setibanya aku di asrama MARA, aku terus mengajak ahli baitku mengerjakan solat Asar berjemaah. Kali ini solatku lebih khusyuk seolah-olah ingin berlama-lama ‘menghadap’ Dia demi memohon keampunan dari setiap penjuru khilaf yang telah ku perbuat. Usai solat, wirid yang aku imami sengaja aku panjangkan dek kerana perasaan rasa bersalahku pada-Nya masih berbaki.
Satu jam lagi Madrasah al-Razi akan bermula. Hendak mengulangkaji pada waktu petang-petang sebegini selalunya apa-apa yang dibaca susah sedikit mahu difahami, tambahan pula memang aku sudah terbiasa belajar selepas solat Maghrib. Untuk mengisi masa lapang ,ku buka komputer ribaku untuk menyemak emel. Tiba-tiba ‘offline message’ dari Kak Mardhiah, mahasiswi usuluddin Universiti Al-Azhar muncul di skrin.
Dalam hadis Nabi S.A.W disebutkan:
Orang yang meninggalkan solat lebih besar dosanya dibandingkan dengan orang yang membakar 70 buah al-Quran, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Kaabah. Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa orang yang meninggalkan solat sehingga terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan disiksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah lapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia.
Aku terkedu. Mesej yang diterima betul-betul terkena di batang hidungku sendiri. Tidak dapat kubayangkan betapa seksa dan dahsyatnya azab Allah S.W.T. Air panas yang terkena di tanganku semasa membancuh teh pagi tadi pun sudah cukup membuatku terjerit, apatah lagi azab Allah yang maha pedih.
”Nauzubillah min zalik,” ucapku dalam hati.
Sememangnya pagi tadi aku bukan sengaja melewatkan solat Subuhku. Aku cuma terlewat bangun kerana kepenatan belajar sehingga terbawa-bawa ke dalam lena yang panjang. Namun perasaan bersalah terasa kuat sehingga diri terasa hina. Ah, lama sungguh aku melayan perasaan. Madrasah al-Razi bakal bermula sebentar sahaja lagi.
Tingkat 3 bangunan MARA Iskandariah sudah dibanjiri dengan kedatangan mahasiswa dan mahasiswi. Seperti biasa, bilangan akhawat melebihi bilangan ikhwah yang hadir. Tidak lama kemudian,Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai ‘Akhi Salman' di alam maya tiba diiringi beberapa orang ikhwah.
Syukur pada Allah kerana dengan adanya insan yang bersungguh-sungguh mahu berkongsi ilmu seperti Ustaz Salman, kami mendapat pelbagai ilmu yang sudah semestinya tidak mungkin diperolehi di Fakulti Perubatan. Meskipun sistem pembelajaran tampak menarik diselang-selikan pula dengan lawak-lawak ustaz yang pastinya mengundang tawa, tumpuanku agak terganggu dengan kehadiran ikhwah yang seorang ini.
Petang ini, dia kelihatan bersahaja memakai baju melayu berwarna biru laut, warna kesukaanku. Tambahan pula, dia memilih untuk duduk betul-betul sebaris denganku. Ah, Allah memang sengaja ingin menguji keimananku. Pandanganku asyik tertumpu ke arah pemuda itu. Entah mengapa hatiku berkenan sungguh padanya. Mungkin kerana akhlaknya yang baik, ditambah pula dengan sikapnya yang peramah serta berkepimpinan, tetapi dia tidak pernah mengetahui bahawa aku mengaguminya dalam diam. Cuma terdaya memandangnya dari jauh.
Lamunanku terhenti apabila ustaz menyentuh bab hati. Tumpuanku bertambah semula. Ada kata-kata ustaz yang merenggut ketenangan di hatiku. Kata ustaz, semasa solat kita hendaklah khusyuk kerana apabila kita teringat perihal dunia sedang bibir memuji kebesaran-Nya, Allah akan berkata dengan nada yang sedih:
”Yang mana lebih penting? Aku atau perihal dunia yang kau ingat itu?”
"Kemudian apabila kita teringat lagi perihal dunia buat kali kedua setelah datangnya khusyuk, Allah akan bertanya soalan yang sama buat kali kedua. Dan apabila kita teringat perihal dunia buat kali ketiga, Allah tidak akan bertanya lagi. Jika Allah sudah tidak hiraukan kita lagi, adakah solat yang kita laksanakan akan diterima?"
Aku terus tersentak. Kelas Madrasah al-Razi kali ini betul-betul memberi impak besar pada diriku. Dadaku terasa bagai dihempap. Sedih, terkilan, menyesal, semuanya menjadi satu. Seisi kelas terdiam seribu bahasa bagai bermuhasabah sendiri pada waktu itu juga. Ya Allah, orang yang melaksanakan solat, tiang agama-Mu pun ada cacat celanya apatah lagi orang yang menunaikan solat tetapi di hujung-hujung waktu sepertiku ini. Ya Allah, ampunkan hamba-Mu ini.
Kali ini mataku tidak terarah ke arah sang pemuda itu lagi. ”Maksiat mata!”, bentak hatiku. Aku bertekad, perasaan ini tidak harus dilayan dan solat selepas ini akan kukerjakan dengan sebaiknya walau terpaksa berperang dengan diri sendiri melawan kemalasan serta hasutan Syaitan. Ya! Aku harus kuat untuk menjadi Muslim yang sejati. Biar Islam pada diriku bukan sekadar tertulis hanya pada nama, tetapi biar terzahir pada hati, lafaz serta perbuatanku.
Allahuakbar, allahuakbar....
Azan sudah pun berkumandang. Alhamdulilah, pada kali ini aku berjaya menunaikan solat Subuh pada awal waktu. Aku berasa sangat sehingga di kelas pun aku masih tersenyum. Pada sujud terakhir, ada air mata keluar berlinangan dari kelopak mataku. Alangkah indahnya jika kita sentiasa hidup dalam keimanan. Alhamdulilah...

Sunday, August 7, 2011

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Umatku diberikan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada umat-umat terdahulu ketika Ramadhan iaitu:

 {1}Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada kasturi di sisi Allah.


 {2}Para malaikat beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.

{3}Allah memperindahkan syurga-Nya setiap hari dan berfirman:"Hampir hamba-hamba-KU 
       yang soleh akan dicampakkan pelbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali kepadamu',
       (mereka sanggup bersusah payah di dunia demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat)

{4}Syaitan-syaitan dibelenggu,tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain Ramadhan.

{5}Mereka akan mendapat keampunan pada akhir malam(orang yang beramal akan disempurnakan 
       amalan mereka setelah selesai mengerjakannya)".
     *Ada sahabat yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w..:"Ya Rasulullah,apakah itu berlaku pada malam
       Lailatulqadar?"Baginda menjawab:"BUkan,tetapi pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai 
        menyelesaikan amalnya".(Riwayat Ahmad).